Friday, 24 October 2014

Surat untuk calon suamiku

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ke hadapan calon suamiku . . .

Apa khabarnya  imanmu hari ini? Sudahkah harimu ini diawali dengan rasa syukur kerana dapat menatap kembali fananya hidup ini? Sudahkah air wuduk menyegarkan kembali ingatanmu atas amanah yang ketika ini sedang engkau genggam?

Wahai calon suamiku. . .

Tahukah engkau betapa Allah sangat mencintaiku dengan dahsyatnya? Disini aku dilatih untuk menjadi dewasa, agar aku lebih bijak menyikapi sebuah kehidupan dan sedia mendampingimu kelak. Meskipun kadang-kala keluh dan putus asa menghampiri, namun kini kurasakan diri ini lebih baik.

Kadang-kala aku bertanya-tanya, mengapa Allah selalu menguji tepat di hatiku. Bahagian terlemah diriku, namun aku tahu jawapannya. Allah tahu di mana tempat yang paling tepat agar aku sentiasa kembali mengingati-Nya, kembali mencintai-Nya. Ujian demi ujian insyaAllah membuat aku menjadi kuat, sehingga ketika kelak kita bertemu, engkau berbangga memiliki aku di hatimu, menemani harimu.

Calon suamiku. . .

Entah dimana dirimu sekarang. Tetapi aku yakin Allah pun mencintamu sebagaimana Dia mencintaiku. Aku yakin Dia kini sedang melatihmu menjadi mujahid yang hebat, hingga aku berbangga memilikimu kelak. Apa yang kuharapkan darimu adalah kesolehan. Semoga sama halnya dengan dirimu. Kerana apabila kecantikan yang engkau harapkan daripadaku, hanya kesia-siaan yang engkau dapatkan.

Aku masih hauskan ilmu. Namun berbekal ilmu yang ada ketika ini, aku berharap dapat menjadi isteri yang mendapat keredaan Allah dan dirimu, suamiku.

Wahai calon suamiku. . .

Ketika aku masih di bawah jagaan ayah dan bundaku, tidak lain doaku agar menjadi anak yang solehah, agar kelak dapat menjadi tabungan keduanya di akhirat. Namun nanti, setelah menjadi isterimu, aku berharap menjadi pendamping yang solehah agar kelak di syurga hanya aku yang menjadi bidadarimu, mendampingi dirimu yang soleh.

Aku ini seorang pencemburu. Tetapi kalau Allah dan Rasulullah yang engkau cintai daripada aku, aku rela. Aku harap begitu pula dirimu.

Pernah suatu ketika aku membaca sebuah kisah; " Aku minta pada Allah setangkai bunga segar, Dia memberiku kaktus berduri. Aku minta pada Allah haiwan kecil dan cantik, Dia memberiku ulat bulu. Aku sempat merasa kecewa. Betapa tidak adilnya dunia ini.

Namun kemudian kaktus itu berbunga indah. Dan ulat pula berubah menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah Allah, Dia tidak memberi apa yang kita inginkan, tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan."

Aku yakin engkaulah yang aku perlukan, meski bukan seperti yang aku harapkan.

Calon suamiku yang dirahmati Allah. . .

Apabila hanya sebuah gubuk menjadi perahu pernikahan kita, tidak akan kunamakan ia gubuk derita. Kerana itulah markas dakwah kita, dan akan menjadi indah ketika kita hiasi dengan cinta dan kasih sayang.

Kelak ketika lahir generasi penerus dakwah islam pernikahan kita, bantu aku mendidiknya dengan harta yang halal, dengan ilmu yang bermanfaat, terutamanya dengan menanamkan pada diri mereka ketaatan kepada Allah. Bunga akan indah pada waktunya. Ia akan mekar menghiasi taman.

No comments:

Post a Comment